KEJADIAN 2
2
1Dengan demikian selesailah penciptaan seluruh alam semesta. 2 Pada hari yang ketujuh, Allah menyelesaikan pekerjaan-Nya, lalu Dia berehat. 3 Allah memberkati hari yang ketujuh dan menjadikan hari itu sebagai hari istimewa, kerana pada hari itu Allah berehat setelah menyelesaikan pekerjaan-Nya. 4Demikianlah riwayat penciptaan alam semesta.
Taman Eden
Pada masa TUHAN Allah menciptakan alam semesta, 5belum ada benih yang bercambah dan belum ada tumbuh-tumbuhan di atas bumi, kerana Allah belum menurunkan hujan dan belum ada orang yang mengusahakan tanah, 6tetapi air keluar dari bawah permukaan bumi dan mengairi tanah.
7 Kemudian TUHAN Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu.
8Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur, lalu menempatkan manusia yang sudah dibentuk-Nya itu di situ. 9 Di taman itu TUHAN Allah menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik. Di tengah-tengah taman itu tumbuh juga pokok yang memberi hidup, dan pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat.
10Sebatang sungai mengalir dari Eden dan mengairi taman itu; di luar Eden sungai itu terbahagi menjadi empat batang sungai. 11Sungai yang pertama bernama Pison, yang mengalir mengelilingi tanah Hawila. 12Di situ terdapat emas tulen, dan juga wangi-wangian yang sukar didapati, serta batu-batu permata. 13Sungai yang kedua bernama Gihon, yang mengalir mengelilingi tanah Kus. 14Sungai yang ketiga bernama Tigris, yang mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat bernama Efrat.
15Kemudian TUHAN Allah menempatkan manusia itu di Taman Eden untuk mengusahakan serta memelihara taman itu. 16Allah berfirman kepada manusia itu, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, 17kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.”
18Kemudian TUHAN Allah berfirman, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” 19Oleh itu Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk semua jenis binatang dan burung. Kemudian Allah membawa semuanya kepada manusia itu untuk mengetahui nama yang akan diberikannya kepada binatang dan burung. Demikianlah caranya tiap-tiap binatang dan burung mendapat nama. 20Manusia itu memberikan nama kepada semua binatang dan burung, tetapi tiada satu pun antaranya dapat menjadi teman yang sesuai untuk menolong dia.
21Kemudian TUHAN Allah menyebabkan manusia itu tidur dengan nyenyak. Sementara dia terlena, TUHAN mengeluarkan satu daripada tulang rusuk manusia itu, lalu menutupnya semula dengan daging. 22Daripada tulang rusuk itu, Allah membentuk seorang perempuan, lalu membawanya kepada lelaki itu. 23Kemudian lelaki itu berkata,
“Inilah dia, orang yang sama dengan aku –
tulang daripada tulangku,
dan daging daripada dagingku.
Aku namakan dia perempuan,
kerana dia diambil daripada lelaki.”
24 Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.
25Lelaki dan perempuan itu bertelanjang, tetapi mereka tidak berasa malu.
Цяпер абрана:
KEJADIAN 2: BM
Пазнака
Падзяліцца
Капіяваць
Хочаце, каб вашыя адзнакі былі захаваны на ўсіх вашых прыладах? Зарэгіструйцеся або ўвайдзіце
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.