Kejadian 4

4
Kain dan Habel
1Maka Adam meniduri isterinya, Hawa, yang seterusnya mengandung dan melahirkan Kain. Hawa berkata, “Atas pertolongan TUHAN, aku memperoleh seorang anak lelaki.” 2Sesudah itu, dia melahirkan Habel pula, adik lelaki kepada Kain. Habel menggembala haiwan ternakan manakala Kain bertani. 3Pada waktu yang ditetapkan, Kain membawa sebahagian daripada hasil bertani sebagai persembahan kepada TUHAN. 4#Ibr 11:4.Habel pun mempersembahkan beberapa ekor anak sulung daripada haiwan ternakannya, malah memilih antara yang paling mondok daripadanya. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, 5tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Naik beranglah Kain dan masam sekali mukanya. 6Berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Mengapakah kamu marah, dan mengapakah mukamu masam? 7Bukankah benar jika kamu berbuat baik, kamu akan berkeadaan bagus? Tetapi jika kamu tidak berbuat baik, dosa memang mengintai peluang, menanti ketika untuk berleluasa, namun kamu perlu menguasainya.”
8 # Keb 10:3; Mat 23:35; Luk 11:51; 1Yoh 3:12. Namun demikian, Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke ladang.” Semasa kedua-duanya berada di ladang, Kain menyerang Habel, adiknya, lalu membunuhnya.
9Maka berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Di manakah Habel, adikmu itu?” Jawabnya, “Aku tidak tahu! Adakah aku ini penjaga adikku?”
10 # Ibr 12:24. Firman-Nya, “Apakah yang telah kamu lakukan? Dari bumi itu, darah adikmu itu berseru-seru kepada-Ku! 11Sekarang, terkutuklah kamu, terbuang jauh dari tanah yang telah membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu yang ditumpahkan tanganmu. 12Apabila engkau mengerjakan tanah itu, maka tanah itu tidak akan lagi memberikan hasil sepenuhnya kepadamu. Engkau akan menjadi seorang pengembara dan pelarian di bumi.”
13Kata Kain kepada TUHAN, “Hukumanku itu terlalu berat dan tidak tertanggung olehku. 14Sesungguhnya, pada hari ini Engkau mengusir aku dari tanah ini maka aku perlu bersembunyi daripada hadirat-Mu dan akan menjadi seorang pengembara serta pelarian di bumi. Kelak sesiapa yang bertemu denganku akan membunuhku.”
15Firman TUHAN kepadanya, “Tidak demikian! Sesiapa yang membunuh Kain akan menerima balasan tujuh kali lipat ganda.” Lantas TUHAN meletakkan tanda khusus pada Kain supaya dia tidak dibunuh oleh sesiapa pun yang bertemu dengannya. 16Maka pergilah Kain dari hadirat TUHAN lalu tinggal di Tanah Nod, di sebelah timur Eden.
Keturunan Kain
17Kain meniduri isterinya yang seterusnya mengandung lalu melahirkan Henokh. Maka Kain yang sedang membina sebuah kota menamai kota itu Henokh, yakni mengikut nama anaknya. 18Henokh pula beroleh anak iaitu Irad dan susur galur seterusnya ialah Mehujael, Metusael, dan Lamekh. 19Lamekh memperisteri dua orang perempuan iaitu Adah dan Zila. 20Adah melahirkan Yabal yakni leluhur warga yang menghuni khemah serta memelihara haiwan ternakan. 21Adik kepada Yabal bernama Yubal dan dia ialah leluhur bagi semua warga yang memainkan alat muzik iaitu hap dan seruling. 22Zila juga melahirkan anak iaitu Tubal-Kain yang menjadi seorang tukang yang menempa segala perkakas daripada tembaga dan besi. Adik perempuan Tubal-Kain bernama Naamah.
23Berkatalah Lamekh kepada isteri-isterinya,
“Adah dan Zila, dengarlah apa yang kusampaikan;
wahai para isteri Lamekh,
amatilah percakapanku.
Aku telah membunuh seorang lelaki kerana dia melukakan aku,
seorang pemuda kerana dia menyakiti aku.
24Sekiranya Kain harus dibalas tujuh kali lipat ganda,
maka bagi Lamekh seharusnya tujuh puluh tujuh kali lipat ganda.”
25Adam meniduri isterinya lagi, lalu perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki dan menamainya Set, kerana katanya, “Allah telah mengurniaiku keturunan yang lain untuk menggantikan Habel, kerana Kain telah membunuhnya.” 26Seterusnya daripada Set pula lahirlah seorang anak lelaki dan dia menamainya Enos. Pada waktu itulah manusia mula menyeru nama TUHAN.

Цяпер абрана:

Kejadian 4: AVB

Пазнака

Падзяліцца

Капіяваць

None

Хочаце, каб вашыя адзнакі былі захаваны на ўсіх вашых прыладах? Зарэгіструйцеся або ўвайдзіце