YouVersion Logo
Search Icon

KISAH RASUL-RASUL 24:10-23

KISAH RASUL-RASUL 24:10-23 BM

Gabenor itu memberikan isyarat kepada Paulus bahawa dia boleh bercakap. Oleh itu Paulus berkata, “Saya tahu bahawa tuan telah menjadi hakim negeri ini selama bertahun-tahun. Oleh itu saya bersukacita kerana dapat membela diri di hadapan tuan. Tuan dapat mengetahui hal itu sendiri, bahawa tidak lebih daripada dua belas hari yang lalu, saya pergi ke Yerusalem untuk beribadat. Orang Yahudi tidak mendapati saya bertengkar dengan sesiapa pun ataupun menimbulkan rusuhan, baik di dalam Rumah Tuhan mahupun di rumah ibadat ataupun di tempat lain di kota. Mereka pun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dikemukakan kepada tuan terhadap saya. Saya mengaku di hadapan tuan bahawa saya menyembah Allah yang disembah oleh nenek moyang kami menurut ajaran Yesus, yang dianggap salah oleh mereka. Tetapi saya percaya juga kepada segala yang tertulis di dalam Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. Seperti mereka, saya berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian - orang baik, mahupun orang jahat! Oleh itu saya berusaha sebaik-baiknya supaya hati nurani saya sentiasa bersih di sisi Allah dan di hadapan manusia. Setelah beberapa tahun meninggalkan Yerusalem, saya kembali ke situ untuk membawa wang sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban kepada Allah. Apabila saya sedang melakukan perkara itu, mereka melihat saya di Rumah Tuhan setelah saya selesai melakukan upacara penyucian diri. Tidak ada orang ramai menyertai saya, dan tidak ada kekacauan berlaku di situ pada waktu itu. Tetapi beberapa orang Yahudi dari daerah Asia ada di situ. Sebenarnya mereka yang harus menghadap tuan dan mengajukan tuduhan mereka, jika ada tuduhan terhadap saya. Atau biarlah semua orang ini memberitahukan kesalahan saya yang didapati oleh mereka pada masa saya dibawa menghadap Majlis Agama. Mereka mendapati satu perkara sahaja: Saya mengatakan hal ini di hadapan mereka, ‘Hari ini saya diadili kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.’ ” Kemudian Feliks, yang banyak pengetahuannya tentang ajaran Yesus, mengakhiri pembicaraan itu. Feliks berkata, “Apabila Komandan Lisias datang, saya akan memutuskan perkara ini.” Lalu gabenor memerintahkan pegawai tentera yang menjaga Paulus supaya mengawal dia tetapi memberi dia kebebasan yang terhad, serta membenarkan sahabat-sahabat Paulus memberikan apa yang diperlukannya.